Negaraku Merdeka kali-53


Showing posts with label Pejuang. Show all posts
Showing posts with label Pejuang. Show all posts

Sunday, September 19, 2010

Leftenen Adnan




Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Ahmad Saidi terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939. Kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia. Adiknya yang termuda Amarullah Saidi terselamat dari peperangan dan sekarang bersara dan menetap di Kajang, Selangor.

Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu tahun. Adnan Saidi kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.

Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan – kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .


Kematian Pejuang

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.

Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri. Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.

Beberapa tahun lalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal berhampiran Bukit Candu, teringat telah memanjat bukit dengan sepupunya beberapa hari selepas pertempuran tersebut. Dalam salah satu rumah banglo yang terdapat di bukit Lorong Pepys, dia melihat mayat askar Melayu yang dipancung merata-rata. Dalam salah satu bilik, terdapat mayat seorang tentera Melayu yang lehernya dikelar. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana yang terdapat pada pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah pegawai berpangkat. Dia percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).

Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E. Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

"Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)..."

"After two hours of heavy shelling and mortaring, the Japanese attacked the Malay Regiment which was holding Pasir Panjang Ridge. The latter fought magnificently, but suffered heavy casualties, and by afternoon the enemy had reached the Gap (Pasir Panjang Ridge)…"

Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera Jepun.



Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman . Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya .


Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . Apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut , beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat . Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan , Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan .



Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh . Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman . Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan .

Mat Kilau



PAHLAWAN terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan. Anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah. Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik. Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman.

Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah. Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum. Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.

Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan. Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu. Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu. Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.

Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja. Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.

Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.

Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam. Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar.

Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh. Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut.